Wednesday, June 3, 2009

Mat Sabu: Bukan ulamak atau profesional tetapi pejuang tulin

Seorang penjenguk yang menggunakan Anonymous telah menghantar komen kepada tulisan saya mengenai Mat Sabu semalam. Saya suka dengan komennya itu dan di sini saya terbitkan semula komennya tersebut tanpa menambah atau memotongnya.

"Kalau kita mahukan ulamak, ada beribu ulamak dalam PAS. Kalau kita mahukan profesional, mungkin puluhan ribu kita boleh dapat dalam PAS.

Tetapi untuk mendapat pejuang tulin yang istiqamah dalam perjuangannya, tidak banyak yang boleh kita namakan.

Muhammad Sabu adalah seorang pejuang tulin. Setakat ini beliau masih istiqamah dengan perjuangan PAS. Kepayahan dan kesengsaraan telah beliau tempuhi.

Apa salahnya kita berikan kepercayaan kepada beliau untuk menjadi Timbalan Presiden PAS. Kalau beliau berjaya kita lanjutkan dan kalau beliau gagal kita turunkan."  

Tuesday, June 2, 2009

MUHAMAD SABU, MUHAMAD SABU,MUHAMAD SABU

Sudah lama saya tidak menulis di blog saya ini. Bukannya tidak mahu tetapi masa yang terlalu terhad buat saya. Tetapi hari ini, walau apa pun berlaku, saya mesti menulis tentang sahabat lama saya Muhamad bin Sabu (Mat Sabu). 

Saya dengar berita beliau akan bertanding jawatan Timbalan Presiden PAS dalam Muktamar PAS yang akan berlansung Jumaat ini. Saya harap beliau akan menang. Ini bukanlah kerana beliau sahabat baik saya, tetapi pada pandangan saya beliau memang layak untuk jawatan itu.

Saya kenal Mat Sabu sejak tahun 70an lagi. Masa itu beliau masih bujang dan berkerja di CCM Shah Alam. Bila dia kerja malam sebelah pagi dia akan ke Pejabat ABIM, Jalan Daud, Kampung Baru. Kalau dia cuti dia akan ikut kawan-kawan ABIM berceramah atau buat program di luar kota.

Dia mula jinak dan aktif dengan PAS semasa Ustaz Zabidi Ali  sebagai MP Permatang Pauh lagi iaitu diakhir tahun 70an. Selepas itu seingatan saya, Mat Sabu tidak surut sedikit pun dengan perjuangan PAS walaupun berkali-kali ditahan di Kemunting di bawah ISA dan juga dikenakan tahanan daerah di Kuala Pilah. 

Selepas beliau berkahwin dengan Kak Normah, perjuangannya dalam PAS tidak juga kendur. Malahan beliau telah meletakkan jawatan di CCM kerana ditawarkan bertanding di Kepala Batas dalam pilihanraya umum 1982. Beliau tidak berdolak dalik bila diarahkan menjadi calon, walaupun dia tahu dia akan berhadapan hilang punca pendapatan selepas pilihanraya nanti.

Ini berbeza dengan sesetengah pemimpin PAS yang ada hari ini. Mereka aktif dalam PAS setelah mereka pencen dari jawatan, setelah tidak ada kerja lain mahu dilakukan. Perjuangan mereka dalam PAS tidak lebih sebagai memenuhi masa terluang. Walaupun mereka pernah diminta bertanding atas tiket PAS tetapi mereka menolak dengan berbagai alasan. 

Lebih huduh lagi ada kalangan yang lain, yang aktif dalam PAS selepas Anwar Ibrahim disingkir dari UMNO. Walaupun mereka tidak menjadi ahli UMNO tetapi kita tahu mereka tidak mahu aktif dalam PAS kerana tidak mahu bertembung dengan Anwar Ibrahim yang pada masa itu begitu berpengaruh dalam UMNO.  

Selepas kalah dalam pilihanraya 1982,  Mat Sabu terus menghambakan dirinya sepenuh masa dengan perjuangan PAS. Kepetahannya berceramah dengan suara paraunya boleh menarik ribuan pendengar. Beliau menjadi antara penceramah PAS yang paling digemari. Popularitinya setanding dengan Tuan Guru Haji Hadi dan Ustaz Fadzil pada masa itu. Ini menjadikan Mat Sabu tidak lekat di rumah kerana sentiasa mendapat undangan ceramah di seluruh negara.

Disebabkan beliau jarang berada di rumah hinggakan anaknya sendiri merasakan ayahnya sebagai pendatang di rumahnya sendiri. Pernah beliau menceritakan kepada saya, anak kecilnya Huda bertanya semasa ia mahu keluar berceramah, " ayah bila nak datang lagi".....

Hari ini bila gelombang politik bertukar rentak dan PAS telah berjaya menubuhkan kerajaan di Kelantan dan Kedah dan bersama PKR dan DAP di Selangor dan Perak. Ramai kalangan yang dulunya memandang sepi kepada PAS, kini mula memanjang-manjangkan leher supaya muka mereka terlihat.

Tetapi saya sebagai pemerhati dari jauh tetap melihat Mat Sabu sebagai pejuang PAS yang tulin yang tidak tergugat dengan tekanan dan kepayahan perjuangan dan juga tidak terliur dengan kesenangan dan kemewahan. Perwakilan PAS lebih berhak menentukan siapa patut mereka angkat sebagai Timbalan Presidennya tetapi kalau saya sebagai perwakilan, saya akan mengundi Mat Sabu. 
 
---Semasa saya sedang menulis artikal ini saya mendapat berita Pak Suhail Batubara telah pulang ke rahmatullah malam ini di Kota Bahru. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan disertakan bersama roh parah syuhada----

Tuesday, May 12, 2009

Selesaikan DUN Perak: Offer stroke 5 kerusi kat UMNO/BN

Semalam mahkamah buat keputusan, Datuk Seri Niza sebagai MB yang sah. 

Hari ini Datuk Zambri sebagai MB yang tidak sah, buat rayuan di mahkamah, tangguhkan pula keputusan yang dibuat oleh hakim semalam. 

Dengan keputusan mahkamah semalam, Pakatan Rakyat berharap Sultan Perak akan perkenankan Dewan Undangan Negeri Perak dibubarkan.

UMNO/BN cuba halang, supaya tidak sampai terjadi keadaan yang sedemikian. Mereka amat takut untuk berhadapan dengan pilihanraya buat masa ini.

Dulu saya pernah main golf tetapi sekarang dah berhenti. Sampai sekarang pun saya masih lagi tidak pandai-pandai main. Bila orang tak pandai macam saya ni main, pihak lawan selalu bagi "stroke"kat saya. Saya pun tak faham macam mana mereka kira "stroke" itu.  

Apa yang saya faham, "stroke" itu untuk menjadikan permainan itu seimbang. Orang yang tidak pandai macam saya, jika diberi "stroke" silap-silap boleh mengalahkan orang yang rendah handikapnya. Tetapi biasanya orang yang memberikan "stroke" itu mereka yakin mereka akan menang.

Saya nampak pemberian "stroke" dalam permainan golf itu boleh diaplikasikan bagi mencari jalan penyelesaian konflik politik di Perak.  

Kalau UMNO/BN takut sangat untuk menghadapi pilihanraya negeri Perak, saya cadangakan supaya Pakatan Rakyat menawarkan "stroke" 5 kerusi kepada UMNO/BN. UMNO/BN boleh pilih 5 kerusi menang percuma mana-mana kerusi yang dia mahu. Baki 54 kerusi itu sahaja yang dipertandingkan. 

Apa macam, boleh tak?  

Monday, May 11, 2009

SUK Perak, dia ni nak bubuh kat mana?

Penasihat undang-undang Perak telah dipecat......




Dia ni nak bubuh kat mana?


Friday, May 1, 2009

Ulamak dan Erdogan

Beberapa ketika sebelum perang Gaza, antara Hamas dan Israel meletus, Sheikh Al-Azhar, Sheikh Sayyed Muhammad Al-Tantawi mengeluarkan fatwa, "menentang Yahudi adalah satu tindakan yang penakut dan bodoh".

Walaupun kenyataannya itu tidak dianggap salah, tetapi apakah cerdiknya beliau berkata begitu semasa ketegangan sedang memuncak antara Hamas dengan Zionis Israel, yang kemudiannya Zionis Israel telah membunuh dengan kejam rakyat Palestin di Gaza.

Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan dalam ucapannya di Forum Ekonomi Dunia di Davos, Switzeland, telah memaki hamun Shimon Peres dengan mengatakan,
" Peres, kamu lebih tua dari aku. Suara kamu terlalu lantang. Mungkin kamu rasa bersalah dan sebab itulah kamu meninggikan suara kamu".
"Kamu bunuh mereka....saya masih ingat kanak-kanak yang mati di tepi pantai".
"Saya masih ingat dua bekas Perdana Menteri kamu berkata, mereka masuk ke Palestin dengan kereta kebal"....
Dalam soal membunuh, kamu terlalu bagus"....
Antara kedua pemimpin ini siapakah yang dilihat membela rakyat Palestin dan menentang Zionis Israel?
Kalau mereka berdua ini dipertandingkan untuk menjadi pemimpin negara Palestin, Siapakah antara mereka berdua ini yang akan dipilih oleh rakyat Palestin?

Friday, April 24, 2009

Aku tidak suka orang bongkak

Bila Presiden PAS, Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang lontarkan idea "Kerajaan Campuran" atau "unity Goverment", dalam keadaan PAS sedang "berkahlwat" dengan DAP dan PKR dalam Pakatan Rakyat, ideanya itu kurang mendapat sambutan dari ahli-ahli PAS sehingga memaksa beliau menarik balik apa yang telah dilontarkannya itu.

Murshidul Am PAS, Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz secara keras menyatakan tidak senang dengan idea itu sehingga menimbulkan suasana sedikit tegang antara Presiden dengan Murshidul Am.

Hari ini saya membaca blog Sanggah Tok Sago yang memuatkan satu artikal yang ditulis oleh anak Tuan Guru Nik Aziz, Ustaz Nik Abduh, mengenai sikap sebenar Murshidul Am PAS itu terhadap "Unity Goverment".

Nik Abduh mendakwa penolakan keras ayahnya terhadap unity goverment disebabkan beliau telah diberi penerangan yang salah oleh pembantu-pembantunya mengenai unity goverment itu. Malah beliau mendakwa penasihat-penasihat yang mengelilingi ayahnya, terdiri dari kalangan mereka yang sengaja mahu melaga-lagakan antara ayahnya dengan Datuk Seri Haji Hadi Awang.

Lebih keras lagi, Nik Abduh menyifatkan penasihat-penasihat ayahnya itu adalah kalangan orang yang belajar agama secara 'mee celup" tetapi mendakwa sebagai ulamak dengan istilah-istilah ugama yang dihafal dan bukan difiqihi.

Nik Abduh juga menyatakan usaha yang dilakukan oleh pembantu-pembantu ayahnya itu adalah sesat disisi tuhan dan mendoakan semoga Allah membalas kejahatan yang telah mereka lakukan.

Saya tidak kenal siapa penasihat-penasihat yang dimaksudkan oleh Nik Abduh itu dan saya juga tidak kenal dengan Nik Abduh itu sendiri, walaupun beberapa ketika saya pernah berkecimpung secara dekat dengan PAS. Ini mungkin kerana saya tidak berapa dekat dengan ulamak yang betul-betul mengaji tetapi lebih banyak berkawan dengan "ulamak mee celup". Makumlah saya ini dari kalangan sang kutu seperti Bakaq Hak.

Mungkin kerana saya ini dari kalangan sang kutu, saya tidak dapat menerima kenyataan bongkak seperti yang ditulis Ustaz Nik Abduh itu. Bukanya saya tidak suka "orang ugama" tetapi saya tidak suka orang ugama yang bongkak yang perasan mereka sahaja yang akan masuk syurga.

Walaupun saya tidak kenal siapa penasihat-penasihat Tok Guru Nik Aziz, tetapi saya percaya mereka bukanlah dari kalangan yang mahu melihat perpecahan PAS. Kalau tidak masakah Tok Guru masih mempercayai mereka.

Takkanlah Tok Guru Nik Aziz yang selama ini dihormati oleh segenap lapisan bangsa kerana kehebatannya berpolitik, tidak dapat mengenail antara yang baik dengan yang tidak baik? Takkan mungkin Tuan Guru menerima bulat-bulat nasihat dari pembantu-pembantunya tanpa mengambil kira pemikirannya sendiri?

Kalau Nik Abduh benar-benar yakin dengan apa yang diperkatakannya itu betul, kenapakah beliau tidak memberitahu terus kepada ayahnya, sedangkan beliau tinggal serumah dan bertemu setiap hari dengan ayahnya.

Kenapa orang yang mahu merosakkan perjuangan PAS dibiarkan mengerumuni ayahnya. Apakah bukan satu dosa kalau kita membiarkan sahaja orang yang memang kita tahu mahu mengkhianati perjuangan Islam?

Bersetuju atau tidak bersetuju dengan unity goverment ini, hanyalah perbezaan pendapat sahaja. Bukankah tidak ada larangan dalam Islam untuk kita berbeza pendapat. Memihak atau pun tidak bersetuju dengan pendapat seseorang pemimpin adalah perkara biasa dalam persatuan atau parti politik. Jadi apa salah kalau ramai yang bersetuju dengan Nik Aziz tetapi tidak bersetuju dengan Haji Hadi.

Janganlah terlalu mudah menghukum orang yang tidak bersetuju dengan pendapat dan pandangan kita sebagai penghianat perjuangan. Orang yang tidak belajar ugama secara khusus diperlekehkan dengan berbagai gelaran. Mereka mahu kepada perjuangan Islam itu pun sudah seribu rahmat.

Tuesday, April 7, 2009

Siapa besar, rakyat atau kerajaan UMNO/BN ?

Sekarang siapa yang kena berubah? Kerajaan atau rakyat?
Tan Sri Muhyiddin, masa hari penamaan calon di Bukit Gantang mengatakan kerajaan akan membuat perubahan dengan segera kalau rakyat memberikan BN menang diketiga-tiga pilihan raya itu.

Semalam rakyat Bukit Gantang dan Bukit Selambau tidak mahu bagi BN menang, malah mereka beri lebih banyak lagi undi kepada Pakatan Rakyat di kedua-dua tempat itu, dibandingkan dengan PRU ke 12 yang lalu.

Siapa lebih besar sekarang, kerajaan UMNO/BN atau rakyat?

Kalau empat puluh tahun dulu kata-kata Tan Sri Muhyiddin itu mungkin akan meninggalkan bekas. Masa itu rakyat malaysia masih ramai yang makan ubi rebus dan pisang bakar tapi hari ini makanan asas menteri dan makanan asas rakyat hampir sama.

Kalau empat puluh tahun dulu pemikiran menteri dengan pemikiran rakyat berbeza. Ramai rakyat yang masih buta huruf tetapi pengundi hari ini kebanyakannya telah pernah bersekolah dan ramai rakyat yang lebih cerdik dari menteri.

Jadi menteri jangan cuba nak ugut-ugut rakyat. Rakyat tidak rugi apa-apa. Rakyat tetap hidup seperti biasa.

Kalau sebelum mengundi semalam, penduduk Kuala Sepetang berkerja sebagai nelayan, hari ini mereka tetap juga seorang nelayan. Kalau sebelum mengundi semalam, penduduk Bukit Selambau bekerja sebagai penoreh getah, hari ini selepas PR menang, mereka tetap juga seorang penoreh getah.

Kalau kerajan tidak mahu berubah, bersedialah untuk ditolak oleh rakyat. Rakyat akan pilih calon atau parti yang sanggup membela mereka. Oleh itu kalau UMNO/BN mahu rakyat memilih mereka, mereka harus berubah dan bukannya rakyat yang kena berubah dengan memberikan undi kepada mereka.

Di Perak, kalau kerajan UMNO/BN mahu memenangi semula hati rakyat, kembalikan hak mereka. Mereka telah memilih kerajaan Pakatan Rakyat dalam PRU ke 12 yang lalu. Kembalikan kuasa itu kepada rakyat Perak. Barulah rakyat Perak akan menilai semula patut atau tidak mereka memberikan sokongan kepada UMNO/BN.

Kalau UMNO/BN rasa apa yang mereka buat itu betul, tunggulah Pilihan Raya Umum ke 13 nanti. Rakyat Perak akan tentukan siapa yang patut memerintah Negeri Perak. Rakyat tidak rugi apa-apa kalau mereka terpaksa menunggu tiga empat tahun lagi. Tetapi UMNO/BN bersedialah untuk di muziumkan.